Wednesday, April 20, 2016

Kisah nabi Muhammad SAW

Kisah Kehidupan Nabi Muhammad SAW
 Sifat  Pemurah
 Sabda Rasulullah s.a.w.: "Kunci syurga ialah menyintai orang-orang miskin." Dalam hal ini Rasulullah telah menunjukkan contoh yang luar biasa.
            Pada suatu hari, setelah selesai sembahyang jemaah di masjid, baginda tergesa-gesa pulang ke rumah hingga sahabat-sahabat merasa hairan. Setibanya di rumah, baginda lalu menyuruh pembantunya memanggil orang-orang fakir dan miskin pada malam itu juga untuk dibahagikan wang. Sebenarnya sesudah sembahyang tadi terlintas dalam ingatan baginda yang ia masih menyimpan wang yang belum dibahagikan kepada orang yang berhak

           Suatu hari yang lain, baginda telah pergi ke pasar untuk membeli sehelai kain sambil membawa wang lapan dirham. Di tengah jalan baginda bertemu dengan seorang budak perempuan yang menangis. Dia tidak berani pulang kerana takut akan dimarahi oleh majikannya. Seketika itu juga Rasulullah memberikan kepadanya wang dua dirham, lalu berhentilah ia dari menangis
            Dengan baki wang enam dirham baginda terus pergi ke pasar lalu membeli sehelai kain sarung dengan harga empat dirham. Semasa pulang baginda bertemu dengan seorang lelaki tua yang sudah koyak-koyak kain sarungnya, hingga nampak bahagian aurat. Tanpa memikirkan keperluannya baginda terus memberikan kain sarung yang baru dibelinya itu kepada orang tua tersebut. Kemudian baginda kembali ke pasar dengan wang yang masih ada. Baginda membeli kain sarung untuk dirinya sendiri yang tentu mutunya lebih rendah daripada kain sarung yang dihadiahkannya tadi.
 Sifat Pengasih
 Dalam suatu khutbahnya Rasulullah s.a.w. telah menyeru supaya manusia berbuat baik antara satu sama lain terutama terhadap anak-anak yatim, janda-janda juga terhadap binatang.
            Pada suatu hari ketika baginda berjalan pulang ke rumahnya, lalu dilihat seekor kucing sedang tidur dengan anak-anaknya di atas jubah yang hendak dipakainya. Sikap baginda yang cintakan binatang membuatkan baginda menggunting bahagian jubah yang selebihnya untuk di pakai. Dengan itu kucing-kucing tersebut tidak terganggu.

            Suatu ketika yang lain pula sedang baginda berjalan-jalan disuatu lorong di bandar, tiba-tiba baginda terpandang seekor unta sedang berlari dengan lajunya. Orang ramai bertempiaran lari untuk mengelakkan diri dari dilanggar unta itu. Tetapi anehnya bila unta itu sampai kepada Rasulullah ia menjadi jinak, lalu ia dipeluk oleh baginda. Sejurus kemudian tuan unta itu datang dengan dengan tercungap-cungap sambil mengucapkan terima kasih kepadanya.
            Rasulullah tahu apa yang menyebabkan unta itu lari dari tuanya. Baginda berkata: "Kenapa engkau tidak memberikan makanan yang cukup untuk unta ini? Ia mengadu lapar kepadaku. Kalau engkau dapat menjaganya dengan baik ia tidak akan lari." Orang itu sangat terkejut mendengar kata-kata Rasulullah, dia tidak menyangka bahawa unta itu boleh mengadu kepada Rasulullah dan baginda memahami bahasa binatang itu. Lantas ia mengaku kesalahannya itu.

           Sejak itu ia sedar bahawa unta itu bukanlah semata-mata sebagai hambanya sahaja bahkan harus dijaga dengan baik dan sempurna.

No comments:

Post a Comment